Photobucket Photobucket

CITARASA RINDUAN

Friday, December 3, 2010

Kalaulah Yang Mati Itu Kita.... ( Muhasabah )

Oleh ABU HANIFAH

kalaulah yang mati itu kita... bagaimana?

Anda biasa mendengar berita kematian?

Biasanya, apabila kita mendengar berita kematian, maka secara tidak langsung kita akan mengirimkan ucapan takziah. Kita akan berusaha menzahirkan kesedihan yang teramat sangat semampu kita kepada keluarga si mati. Kalau yang mati itu ahli keluarga kita, tambahlah kita terasa akan kesedihannya.

Memang, kesedihan itu satu perkara yang normal. Maka bersedihlah seadanya, selagi kesedihan kita itu berada dalam lingkungan keredhaan kepada ALLAH SWT.

Tapi, setiap kali mendengar berita kematian, pernah tak kita terfikir satu perkara?

“ Kalaulah yang mati tu aku, macam mana?”

Apa perasan anda, kalau berita kematian itu bukan berita kematian orang lain, tetapi merupakan berita kematian anda?

Bagaimana?

Persoalan itu, dilontarkan oleh sahabat karib saya. Bila difikir balik, perntanyaan itu nyata menusuk kalbu.

Mati, bukanlah pengakhiran bagi segala-galanya.

Manusia yang menganggap bahawa mati adalah penyelesai segala masalah, dan penamat bagi segala sengsara, merupakan manusia yang cetek akalnya. Mati, hanyalah sebuah pintu untuk kita menembusi sebuah alam lain.

Selepas mati, kita akan masuk ke alam barzakh. Di alam barzakh inilah, kita disukat awal berdasarkan soalan-soalan yang akan disoal oleh Malaikat Munkar dan Nakir.

Di alam barzakh inilah, beberapa amal kita, akan menjadi peneman menjalani kehidupan di sini. Andai kita merupakan seorang yang beramal soleh, maka akan dibukakan untuk kita pintu-pintu syurga agar kita sentiasa rindu kepadanya dan berlapang dada untuk menunggu di alam barzakh. Andai kita merupakan seorang yang beramal buruk, maka akan dibukankan untuk kita lubang-lubang neraka, agar kita sentiasa resah dan rasa terseksa untuk menunggu datangnya hari kebangkitan, hari perhitungan.

Selepas alam barzakh, akan berlaku saat kebangkitan. Manusia akan dipindahkan pula ke alam perhitungan, di padang mahsyar. Hari itu, adalah hari perhitungan atas segala amal yang dibuat oleh manusia. Tiada siapa yang akan mendapat naungan, melainkan naungan yang dibenarkan oleh ALLAH SWT sahaja. Tiada siapa yang selamat, melainkan yang datang kepada ALLAH dalam keadaan hatinya yang sempurna.

“ Hari yang tidak berguna harta dan anak pinak, kecuali yang datang kepada ALLAH dengan hati yang sejahtera” Surah Asy-Syu’ara’ ayat 88-89.

Selepas saat perhitungan, manusia akan bergerak ke salah satu dari dua tempat. Itulah dia Neraka dan Syurga. Salah satunya akan menjadi tempat tinggal kita.

Nah, mati adalah pintu untuk kita memasuki alam-alam itu.

Kalau kita perhatikan, alam selepas mati amat berbeza sekali dengan alam sebelum mati. Pada alam selepas mati, sudah terpadam ikhtiar daripada manusia. Manusia tidak lagi dibenarkan berusaha, beramal, jauh sekali hendak berbuat keburukan. Selepas melangkah pintu kematian, amal sahaja yang menjadi teman. Seperti mana yang didendangkan oleh Opick di dalam lagunya:

“ Bila waktu memanggil, teman sejati hanyalah amal. Bila waktu telah terhenti, teman sejati

tinggal lah sepi”

Apa yang dilakukan semasa di dunia itulah yang menemani perjalanan seorang HAMBA selepas melangkahi pintu kematian ini. Maka, tersedarlah manusia ketika itu betapa dia telah membazirkan satu-satunya peluang yang dia ada untuk berusaha, iaitu semasa kehidupannya. Diceritakan di dalam Al-Quran, ada golongan yang merayu-rayu meminta untuk ALLAH memulangkan mereka semula ke dunia. Tetapi, semuanya sia-sia sahaja.

“ Dan alangkah ngerinya jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang menderhaka itu menundukkan kepala mereka di hadapan RABB mereka, mereka berkata: Wahai RABB kammi, kami telah melihat dan mendengar(siksaan-siksaan yang disediakan), maka kembalikanlah kami(ke dunia), nescaya kammi akan mengerjakan kebaikan. Sungguh kami adalah orang-orang yang benar-benar yakin” Surah As-Sajdah ayat 12.

Bagaimana agaknya, kalau berita kematian yang kita dengar itu adalah berita kematian kita?

Tiadalah mati itu datang dengan amaran. Mati datang bila-bila masa sahaja. Tidak akan cepat sesaat, tidak akan lewat sesaat. Bila saat tiba, maka tanpa ternanti-nanti, nyawa kita akan terus ditarik. Tiada notis seminggu awal, atau pun tidak rayuan akhir yang boleh dibuat. Bila mati, maka mati sahaja pilihan yang ada. Bagaimana segala dosa? Bagaimana dengan amal yang tidak dilakukan selama ini dengan tidak bersungguh-sungguh?

“ …Maka apabila ajal mereka tiba, mereka tidak akan mampu meminta kelewatan walau sesaat, atau mempercepatkannya” Surah An-Nahl ayat 61.

Bagaimana agaknya itu?, bagaimana agaknya ini? Kita akan terfikir segala perkara. Mati yang menyakitkan tambah mengingatkan kita segala kesilapan dan kesalahan kita selama hidup, baik yang kita ingat mahupun yang kita lupa.

Bagaimana agaknya, kalau bukan orang lain yang kita dengar beritanya itu mati, tetapi kitalah yang mati? Bagaimana agaknya?

Sesak. Memang sesak. Takut. Memang menakutkan.

Maka, bersyukurlah dengan kehidupan yang masih bersambung ini.

Bersyukurlah nyawa kita yang masih banyak kesilapan ini tidak ditarik.

Maka, dengan ‘bonus’ hayat yang masih disambungkan ALLAH ini, apakah yang anda hendak lakukan?

Apakah anda hendak mempersiakan?


3 ulasan:

IMANSHAH said...

salam ayu

ayu pagi2 dah mengingatkan cikgu pada arwah ayah..Alhamdulillah, saya sempat turun ke liang lahad, untuk membaringkan Almarhum..sedih sungguh waktu itu

sekadar satu coretan said...

salam ayu..
kite semua akan kesane jugak akhirnya nntkan...

cume berbekalkan amalan yg kite lakukan kat dunia ni...

Aiyu Esa said...

salam kenal..
khusyuk baca en3 nie..tq sharing